Penentangan orang Melayu terhadap orang-orang Siam, Portugis, Belanda dan Inggeris yang datang hendak menjajah ke negeri-negeri Melayu itulah yang diceritakan dalam buku ini dengan tujuan semoga janganlah hendaknya ada orang yang memikirkan bahawa orang Melayu itu suatu bangsa yang begitu mudah dijajah oleh bangsa asing. Dan penentangan orang Melayu terhadap penjajahan bangsa asing yang disebutkan dalam buku ini, tiadalah dimasukkan orang Melayu di Kepulauan Melayu (Indonesia sekarang), kerana jika dimasukkan pula kisah penentangan orang-orang Melayu di sana terhadap penjajahan bangsa asing, buku ini akan menjadi sebuah buku yang tebal.
Semoga khidmat pejuang-pejuang Melayu menentang penjajahan bangsa asing pada zaman yang silam itu tinggal menjadi kenangan megah kepada bangsa Melayu sepanjang abad.
Haji Buyong bin Adil
(Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19)Pengenalan
Nama Haji Buyong Adil memang sudah terkenal dalam bidang penghasilan perkembangan pensejarahan Malaysia. Beliau merupakan seorang sejarawan yang prolifik pada zamannya dan sumbangan serta penglibatan beliau di dalam penghasilan karya-karya sejarah yang bermutu sentiasa menjadi sebutan para pencinta dan pengkaji sejarah hingga kini. Apa yang menarik, pembabitan beliau dalam bidang ini adalah dalam tempoh yang agak lama dan dikenali sebagai seorang penulis yang berada di dalam dua zaman, iaitu zaman sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua. Nama sebenar beliau ialah Hj. Yusof bin Adil. Beliau telah dilahirkan pada 27 haribulan Januari 1907 di Bandar Teluk Anson, Perak.[1] Anak kepada seorang peniaga ini telah menunaikan fardhu haji di kota Mekah pada tahun 1963. Nama Buyong Adil muncul apabila bapa saudaranya yang tidak mengetahui nama sebenarnya telah mendaftarkan beliau dengan nama sedemikian ketika hendak memasuki alam persekolahan. Beliau lulus Darjah V (darjah tertinggi di sekolah Melayu ketika itu) di Sekolah Melayu Laki-laki Teluk Anson (kini Teluk Intan) pada tahun 1918. Beliau kemudiannya bertugas sebagai seorang guru pelatih di Sekolah Melayu Teluk Anson. Seterusnya beliau pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan dari tahun 1928 hingga 1941 telah bertugas sebagai pensyarah di situ. Pada awal tahun 1942 ketika pihak Jepun telah menguasai keseluruhan Tanah Melayu, beliau bertukar kerja menjadi Kerani Melayu di Pejabat Pelajaran Perak Selatan di pekan Teluk Anson. Beliau turut dilantik sebagai pegawai Giyutai, berpangkat Leftenan, pasukan sukarelawan bagi pihak Jepun yang terdiri dari orang-orang tempatan di Teluk Anson. Setelah tamat menerima latihan dari pihak Jepun, pasukan ini telah ditugaskan untuk melatih ahli-ahli di dalam kumpulan-kumpulan giyutai yang lain.[2] Tugas utama mereka ialah mengajarkan bahasa dan tulisan Jepun kepada ahli-ahli giyutai itu.[3]
Setelah lebih kurang tiga tahun menjadi pegawai giyutai di Teluk Anson itu, kira-kira dalam pertengahan tahun 1945 Buyong Adil telah dihantar oleh pihak tentera Jepun untuk belajar di sekolah perguruan tinggi Jepun, iaitu Jokyo Shihan Gakko, yang terletak di Kajang, Selangor.[4] Beliau dihantar ke sekolah itu untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai bahasa Jepun. Walau bagaimanapun kira-kira hanya empat bulan sahaja Buyong Adil berada di Kajang, pihak Jepun telah menyerah kalah kepada pihak Berikat. Berikutan dengan kekalahan pihak Jepun, Buyong Adil berserta pelajar-pelajar lain telah diarahkan kembali ke negeri masing-masing.
Setelah kembali semula ke Perak, Buyong Adil telah dilantik sebagai guru besar di sebuah sekolah Melayu di Ipoh. Buyong Adil bersetuju dengan tawaran itu dan dengan persetujuan Hicks, Nazir sekolah-sekolah di Perak, beliau kemudiannya menamakan sekolah itu sebagai Central Malay School.[5]
Di samping menjadi guru besar, Buyong Adil juga turut bergiat secara aktif di dalam pertubuhan `Perikatan Melayu Perak’ yang kemudian ditukarkan namanya menjadi UMNO Cawangan Negeri Perak, diketuai oleh Tuan Haji Abdul Wahab, Datuk Panglima Bukit Gantang.[6] Beliau telah dilantik menjadi Pegawai Penerangannya dan sesuai dengan jawatan itu beliau sentiasa pergi ke beberapa tempat di negeri Perak memberikan penerangan dan syarahan-syarahan mengenai UMNO. Dalam pada itu, beliau juga telah ditugaskan menjadi Pengarang majalah Tenaga iaitu suara rasmi UMNO cawangan negeri Perak. Beliau menyandang jawatan pengarang majalah Tenaga ini hingga ke tahun 1948.
Setelah lebih kurang 4 tahun berkhidmat sebagai pendidik serta berkecimpung dan bergiat dalam politik Perak, Buyong Adil kemudiannya telah dipindahkan pula oleh E.C. Hicks ke Singapura sebagai Ketua Siaran Radio ke sekolah-sekolah Melayu di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura, mulai 1hb. Mac, 1950.[7]
Dalam tempoh ini juga beliau telah menulis beberapa buah buku serta menterjemah beberapa buah karya asing untuk bacaan di peringkat kanak-kanak.[8] Beliau juga telah dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya mulai tahun 1957, beliau juga menjadi anggota Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buyong Adil telah bersara dari perkhidmatan kerajaan (kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura) dengan menamatkan tugasnya sebagai Ketua Siaran Radio ke sekolah-sekolah Melayu mulai 26hb. Jan. 1962.[9] Pada bulan April tahun yang sama, beliau telah menjawat pula jawatan sebagai Ketua Bahagian Penerbitan buku-buku utusan Melayu Press Limited, yang beribu pejabat di Singapura. Tapi jawatan ini hanya dipegang selama dua bulan sahaja kerana mulai bulan September tahun itu, beliau telah menyertai Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan Singapura sebagai Pengarang Bahagian Melayu. Pada masa bertugas di sini, Buyong Adil juga sempat menghasilkan sebuah buku iaitu62 Pelajaran Bahasa Kebangsaan (1963).
Pada tahun 1963 juga, Buyong Adil telah menunaikan fardhu haji di Mekah dan sejak itu beliau juga dikenali sebagai Haji Buyong bin Adil.[10] Pada 3hb. Jun, 1963, Buyong Adil telah dianugerahkan Bintang Bakti Masyarakat (The Public Star Service) oleh kerajaan Singapura sebagai mengenangkan jasa-jasa yang telah beliau curahkan kepada negeri itu.[11] Majlis penganugerahan itu telah diadakan di Istana Negara Singapura.
Selepas menamatkan tugasnya di Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan Sinapura pada bulan Januari 1964, setelah beliau berhenti dari jawatan itu, beliau telah dilantik pula oleh kerajaan Singapura sebagai salah seorang anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura dan jawatan ini telah disandangnya hingga tahun 1969.[12] Dalam pada itu beliau tetap meneruskan kegiatan penulisannya dengan menyusun dan mengarang beberapa buah buku sejarah negeri-negeri di tanahair, iaitu Johor, Selangor, Perak dan Pahang.[13]
Setelah tamat perkhidmatannya sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura, Buyong Adil telah terus menetap di republik tersebut. Namun mulai pertengahan tahun 1970, Buyong Adil sentiasa pula berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur kerana membantu Senu Abdul Rahman, yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung UMNO Malaysia, menyusun dan menerbitkan sebuah buku yang berjudul Revolusi Mental.[14]
Tatkala dalam urusan tersebutlah beliau telah berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, iaitu Tun Abdul Razak dan hasil pertemuan itu juga, Tun Abdul Razak telah membayangkan kepada beliau supaya bekerja di Kuala Lumpur untuk lebih memudahkan beliau menyiapkan buku-buku sejarahnya. Berikutnya beliau telah dilantik sebagai Penyelidik Sejarah. Tawaran itu diterima dengan senang hati oleh Buyong Adil di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, mulai 1hb. Januari, 1971.[15] Semenjak itu bermulalah tugasnya secara khusus untuk menulis buku-buku sejarah tanahair.[16] Pada tahun 1971, dua buah karya sejarah beliau iaitu Sejarah Johor dan Sejarah Selangor telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun berikutnya, iaitu tahun 1972 diterbitkan pula Sejarah Pahang, Sejarah Perak dan Sejarah Singapura. Ini diikuti dengan Sejarah Melaka pada tahun 1973 dan Sejarah Terengganu serta Sejarah Sarawak dalam tahun 1974. Di samping buku sejarah beliau juga menghasilkan artikel-artikel sejarah yang disiarkan di dalam akhbar-akhbar, majalah-majalah dan jurnal sejarah.[17]
Buyong Adil bercita-cita menghasilkan buku-buku sejarah tanah selengkapnya.[18] Dengan itu seterusnya berusaha menyusun dan mengarang buku-buku sejarah Kedah, Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan sebuah buku sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu. Selain dari itu, beliau juga giat menghasilkan beberapa buah buku fiksyen untuk bacaan kanak-kanak bersama dengan beberapa orang pengarang lain.[19]
Walau bagaimanapun, hasrat beliau menatap semua hasil karya pensejarahannya diterbitkan tidak kesampaian. Dalam bulan Mei, 1976, beliau tiba-tiba diserang sakit dan tidak sedarkan diri serta tidak boleh berbicara ketika pulang dari pejabatnya di DBP.[20] Beliau telah dimasukkan ke hospital dan setelah berada di sana hampir 4 bulan, beliau telah kembali ke rahmatullah pada 31hb. Ogos, 1976. Menurut anaknya Encik Makhzan, bapanya meninggal akibat penyakit `darah beku dalam otak’.[21]Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang pada 1hb. September, 1976.[22]
Kesedaran dan Kaedah Penyelidikan Sejarah
Melalui karya-karya beliau memang dapat dilihat bahawa beliau memang mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap sejarah dan kaedah penyelidikannya. Ertinya beliau merupakan sejarawan yang mempunyai pandangan yang jelas tentang sejarah, kaedah penyelidikan, tafsiran dan juga penggunaan sumber. Beliau mempunyai sikap kritis baik terhadap peristiwa sejarah, tarikh mahupun terhadap sumber-sumber yang digunakan. Hakikat ini menunjukkan bahawa beliau adalah seorang sejarawan moden dan sememangnya telah pula terlatih di bidang tersebut dan menjadikan bidang sejarah itu sebagai kerjayanya untuk tempoh beberapa lama dalam kehidupannya.
Penggunaan Sumber
Menyentuh tentang sumber rujukan misalnya, sungguhpun kebanyakannya terdiri dari sumber kedua, tetapi ia tidak bergantung kepada sumber-sumber sejarawan Barat (terutama British) sahaja, malah sumber tempatan dan lisan juga digunakan. Hal ini ditambah dengan kesedaran sejarah yang dimilikinya, menjadikan karyanya seperti Sejarah Alam Melayu itu misalnya sebagai satu warisan pensejarahan yang sememangnya penting.[25] Dalam karya Sejarah Alam Melayu ini, beliau menggunakan rujukan yang diambil dari karya-karya seperti Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, Hikayat Abdullah oleh Abdullah Munshi, Hikayat Tanah Besar Melayu, One Hundred Years of Singapore oleh W.E. Makepeas, Malayaoleh R.O. Winstedt, British Malaya oleh L.A. Mills dan beberapa rujukan lain.
Dalam penulisan berkaitan sejarah Johor abad ke 17 dan 18, sumber awalan yang digunakannya adalah terdiri dari laporan-laporan rasmi Syarikat Hindia Timur Belanda (V.O.C). Terdapat juga sumber kedua yang merupakan kajian yang berasaskan sumber awalan dan oleh itu boleh dianggap sebagai berbentuk ilmiah. Antaranya ialah dua buah karya penting yang telah dihasilkan pada awal abad ini iaituThe History of Johore (1365-1800) oleh R.O. Winstedt dan The Dutch East India Company and the States of Malacca oleh Dianns Lewis. Hasil mutakhir yang juga penting ialah The Kingdom of Johore oleh Leonard Y. Andaya, Tawarikh Johor oleh Shahrom Hussain.
Dalam karya Sejarah Pahang pula, Buyong Adil tidak mengenepikan sumber-sumber tempatan seperti Hikayat Abdullah (1749), Tarikh Atjeh dan Nusantara oleh H.M. Zainuddin (1961), Kitab Silsilah Melayu dan Bugis (Jawi) oleh Raja Ali Haji (1865) di samping menggunakan sumber-sumber luar seperti karya R.O. Winstedt The Early Rulers of Perak, Pahang and Acheh (1932), D.G.E. Hall A History of South East Asia (1968) dan lain-lain lagi.
Dalam kebanyakan penulisannya seperti di dalam Sejarah Alam Melayu, Jilid IV, beliau kerap merujuk kepada bab-bab yang dibincangkan terdahulu sepeti dari Jilid I, II dan III. Ini menunjukkan beliau begitu terpengaruh dan menyetujui dengan hasil-hasil penulisan tersebut. Namun terdapat juga pandangan beliau yang seolah-olah pro kepada pihak penjajah sebagaimana kenyataannya berikut:
“Ada pun orang yang membuka Pulau Pinang itu ia-lah sa-orang Inggeris bernama Francis Light …”.[26]
Dalam konteks ini, Francis Light sebenarnya telah mengambil Pulau Pinang dari Kedah. Dalam pada itu sebelum kedatangannya, sebagaimana di Singapura juga, Pulau Pinang sudah mempunyai petempatan sendiri yang dibuka oleh penduduk setempat secara kecil-kecilan. Dalam konteks hari ini, tidak keterlaluan jika umum sering menganggap kedatangan orang-orang Barat seperti Inggeris ini sebagai perampas kepada hasil bumi dan wilayah Tanah Melayu.
Gaya penulisan yang dibawa oleh Buyong Adil adalah “beriwayat” dan peristiwa-peristiwa disusun mengikut kronologi yang baik dengan menjadikan Tahun Masehi sebagai dasar pentarikhan. Bab-bab disusun sedemikian bagi memudahkan para pembaca memahami peristiwa dan perkembangan yang dituliskan. Dalam Sejarah Pahang ini, beliau mendahului penulisan dengan menyentuh kedudukan Pahang pada zaman batu, di bawah Kerajaan Melayu Melaka, Perang Saudara, Pahang (1874-1881), Pembabitan Residen, Orang-orang Melayu di bawah naungan British dan Pahang dari 1895 hingga 1970. Pendekatan yang digunakan ini dapat mengemukakan pandangan dan bukti-bukti yang teratur yang boleh menjelaskan keadaan samar-samar tentang sejarah negeri Pahang itu.
Dalam Sejarah Perak (1972) pula, beliau menghuraikan pensejarahan lengkap dari zaman purbakala dan zaman pemerintahan sultan-sultan Perak dari Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549) hingga Sultan Ideris Al-Mutawakkil Alallahi Shah (1963) termasuk Perang Saudara di Perak. Begitu juga dalamSejarah Kedah (1980), karya tersebut disusun teratur bermula pemerintahan Maharaja Derbar Raja I hingga Sultan Abdul Halim Muazzam Shah.
Konsep penulisan sejarah yang dibawa oleh Buyong Adil dalam pensejarahannya adalah bersahaja, menarik dan kadang kala diselitkan dengan unsur-unsur humor yang tidak membosankan. Umpamanya dalam karya Sejarah Alam Melayu ada menyatakan bahawa:
“Pada masa Raffles belayar di-Sungai Singapura itu, pendudok-pendudok Singapura yang sedang berperahu di-sungai itu ketakutan-lah melihatkan orang-orang yang datang itu, kesemua-nya habis lari mudek ka-hulu lagi……………….sa-telah itu Raffles dan Farquhar pun naik ka-darat menuju ka-rumah Datuk Temenggong; sa-sampai di-rumah Temenggong mereka itu pun lalu di-jamu oleh Temenggong makan rambutan.”[27]
Semangat Kebangsaan
Seperti juga gurunya, iaitu Abdul Hadi Hassan, Buyong Adil memang kerap menyelitkan unsur-unsur semangat kebangsaan dalam karya-karya pensejarahannya. Dalam hal ini beliau menggambarkan bahawa sejarah boleh berfungsi sebagai alat memperjuangkan atau membela bangsa. Beliau tegas menyatakan dan membuktikan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang bukan mudah untuk ditunduk dan diperhambakan oleh orang-orang asing mahupun penjajah Barat. Beliau menegaskan dari tahun 1511 hingga 1957 iaitu hampir 500 tahun, orang Melayu telah dijajah berganti-ganti oleh bangsa barat iaitu Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris. Tetapi yang sebenarnya, bukanlah semua orang Melayu di Tanah Melayu ini dijajah oleh orang-orang Barat. Semasa Portugis berkuasa, sebenarnya kuasa mereka hanya terbatas di Melaka sahaja. Mereka cuba menakluki Naning dan Rembau tetapi tidak berjaya. Daerah Muar, terutama Pagoh, dan beberapa buah tempat di tepi Sungai Johor telah juga diserang tetapi tidak berhasil dan mereka mendapat tentangan hebat dari orang-orang Melayu di situ. Pendeknya, selain dari bandar Melaka, negeri-negeri Melayu lain tidak pernah ditakluk apatah lagi dijajah oleh Portugis. Ketika Melaka diperintah Portugis, negeri-negeri Melayu lain seperti Johor, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu tetap terus diperintah oleh raja-rajanya yang masih bernaung di bawah kuasa dan kedaulatan Sultan Melaka dan pewaris-pewarisnya. Kedah, Perlis dan Kelantan sahaja yang kemudiannya telah diserang serta dijajah oleh Siam sejak dari tahun 1821 hingga 1909. Malah selama Siam menjajah Kedah, mereka terpaksa bertempur beberapa kali dengan orang-orang Melayu Kedah.[31] Bagaimanapun penjajahan Siam itu tidak sepenuhnya seperti yang dilakukan oleh Inggeris kemudiannya, tetapi lebih merupakan penguasaan dari luar dan kadang kala dilihat sebagai persahabatan antara dua negara sahaja.
Belanda pula hanya dapat menjajah Melaka dan daerah Naning serta memerintah di Kuala Selangor selama setahun (1784-1785). Negeri-negeri Melayu lainnya, tiada sebuah pun yang pernah ditakluk Belanda. Di negeri-negeri Melayu itu, Belanda hanya datang berniaga atau membeli bijih timah. Bagi orang-orang Inggeris pula, mereka mengambil Pulau Pinang dan Singapura dari raja-raja Melayu yang telah dipujuk dan diperdayakan. Mereka mengambil Pulau Pinang dari Sultan Kedah, manakala Singapura dari Sultan Husain Shah dan Temenggung Abdul Rahman setelah diperdayakan oleh Residen Crawford dan Melaka dari tangan Belanda mengikut Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824.
Kesimpulan
Setelah berkecimpung di bidang pensejarahan dan penulisan secara amnya sejak 1930’an hingga ke saat-saat terakhir hayatnya, Buyong Adil memang layak dilihat sebagai sejarawan yang tidak pernah kenal lelah dalam menabur jasanya di bidang pensejarahan Melayu. Pemergian Allahyarham ke rahmatullah pada tahun 1976 lebih-lebih lagi bertepatan dengan Hari Kebangsaan negara adalah dianggap satu kehilangan besar kepada dunia penulisan dan arus perkembangan pensejarahan di negara ini. Beliau bukan sahaja seorang penulis sejarah yang cekal dan gigih malah hasil-hasil penulisannya yang mudah, lengkap dan bermesej sentiasa sahaja mendapat tempat di hati masyarakat tanahair. Malah para pencinta sejarah menganggap beliau antara sejarawan Melayu Malaysia yang unggul yang jasanya akan terus dikenang.
[1]Buyong Adil, 1976, “Haji Buyong Adil,” dalam Malaysia in History, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Vol. 19, Dis., hlm. 20.
[2]Wan Hamzah Awang, “Buyong Adil Masih Aktif”, Utusan Zaman, 22hb. September 1974.
[3]Haji Buyong Adil, “Haji Buyong b. Adil”, hlm. 17.
[4]Ibid., hlm. 18.
[5]Ibid.
[6]Untuk keterangan lanjut mengenai tokoh ini lihat, Kamarzaman Mat Tuah, “Tuan Haji Abdul Wahab Toh Muda Aziz”, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976/1977.
[7]Ibid., hlm. 19.
[8]Di antara buku-buku untuk bacaan kanak-kanak yang dihasilkan oleh Buyong Adil pada masa tersebut ialah Megat Terawis pada tahun 1951,Empat Belas Cerita Pendek (bersama-sama E.H. Wilson, Husin Abdul Ghani dan Jaafar Abdul Ghani) juga pada tahun 1951. Kedua-duanya terbitan Mc Millan & Co. Ltd., London. Raja Palembang, Bukit Siguntang, Raja Minangkabau, Merah Silu, Surai Cambai, Semerluki, Seri Rama, Terung Pipit, Langkasuka, Tun Fatimah, Lorne Doorne (karya terjemahan), Tun Perak dan Tun Mutahir. Kesemuanya diterbitkan pada tahun 1956 oleh Geliga Limited, Singapura. Pada tahun 1959, beliau menghasilkan lagi karya-karya terjemahan iaitu Saudagar Venice dan Malam Yang Kedua Belas, juga diterbitkan oleh Geliga Limited. Pada tahun 1960, dihasilkan pula Bawang Putih Bawang Merah, terbitan Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan, Singapura.
[9]Haji Buyong Adil, “Haji Buyong b. Adil”, hlm. 19.
[10]Wan Hamzah Awang, “Buyong Adil Masih Aktif”, Utusan Zaman, 22hb. Sept., 1974.
[11]Biodata Buyong Adil, Bahagian Dokumentasi, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[12]Haji Buyong Adil, “Haji Buyong b. Adil”, hlm. 19. Lihat juga, Annual Report 1965, Public Service Commission Republic of Singapore, hlm. 1. Lihat juga, State of Singapore Government Directory, Government Printing Office, Singapore, 1964, hlm. 7. Lihat juga, Singapore Year Book 1965, Government Printing Office, Singapore, hlm. 327. Lihat juga, Singapore Year Book 1966, Government Printing Office, Singapore, hlm. 354. Lihat juga, Singapore Year Book 1967, Government Printing Office, Singapore, hlm. 378. Lihat juga, Singapore Year Book 1968, Government Printing Office, Singapore, hlm. 365. Lihat juga,Singapore Year Book 1969, Government Printing Office, hlm. 328.
[13]Haji Buyong Adil, “Haji Buyong b. Adil”, hlm. 19.
[14]Ibid.
[15]Jawatan sebagai Penyelidik Sejarah itu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ini dipegang secara kontrak dan ianya diperbaharui dari setahun ke setahun. Lihat, Penyata Tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka 1972, hlm. 41. Lihat juga, Penyata Tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974, hlm. 8.
[16]Wan Hamzah Awang, “Buyong Adil Masih Aktif”, Utusan Zaman, 22hb. September, 1974.
[17]Artikel-artikel sejarah yang dihasilkan oleh Buyong Adil di dalam akhbar misalnya, “Raja Abdullah Pembuka Bandar Kuala Lumpur, bukan Yap Ah Loy”, Utusan Zaman, 14hb. Januari, 1971. Di dalam majalah-majalah pula seperti, “Sejarah Kemajuan Kuala Lumpur”, Balai Muhibbah, Januari, 1972 dan “Rakaman Sejarah Seratus Enam Belas Tahun” dalam Dewan Masyarakat, Februari, 1974. Melalui jernal sejarah, Buyong Adil menghasilkan artikel-artikel seperti “Pusat Kerajaan Johor Di Tepi Sungai Johor”, Malaysia In History, Vol. 14, No. 1, Oktober, 1971; “Raja Abdullah Dan Kuala Lumpur”, Malaysia In History, Vo. 14, No. 2, April, 1972; “Selangor Di Bawah Takluk Melaka” dan “Tun Perak Jadi Penghulu Di Kelang”, kedua-duanya dalam Malaysia In History, Vol. 15, No. 1, Julai, 1972.
[18]Lihat, Johari bin Mohamad, 1991/92, “Allahyarham Haji Buyong Adil: Seorang Sejarawan”, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, hlm. 24.
[19]Antara fiksyen kanak-kanak yang dihasilkan oleh beliau seperti Mistri Di Rumah Mainan, Pencuri Di Bandar, Sebuah Mistri Di Parit, Suatu Kisah Di Bukit Cermai (semuanya bersama Mohd. Kadir); Mistri Ikan Emas (bersama Masuri S.N) dan Rumah Berhantu. Kesemuanya diterbitkan oleh Penerbit Titiwangsa, Kuala Lumpur pada tahun 1976. Selain dari itu, beliau juga ada menghasilkan beberapa buah buku bacaan kanak-kanak yang berbentuk sejarah yang dihasilkan bersama R.D. Musleh. Buku-buku itu ialah Bermimpi, Kehairanan, Laksamana Muda, Memeluk Agama Islam, Negeri Melaka, Turun Seorang Syed.Buku-buku ini juga telah diterbitkan oleh Penerbit Titiwangsa pada tahun 1976.
[20]“Jenazah Cikgu Buyong Selamat Dikebumikan”, Berita Harian, 2hb. September, 1976.
[21]Ibid.
[22]“Cikgu Buyong Meninggal Dunia”, Utusan Malaysia, 1hb. September, 1976.
[23]Muhd. Yusof Ibrahim, 1994, Pensejarahan Melayu 1800-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 16.
[24]Ibid.
[25]Ibid., hlm. 17.
[26]Buyong Adil, 1951, Sejarah Alam Melayu, Malaya Publishing House Ltd., Singapura, Jilid IV, hlm. 106.
[27]Buyong Adil, 1951, Sejarah Alam Melayu …, hlm. 12. Buyong Adil, Sejarah Alam Melayu, Malaya Publishing House Ltd., Singapura, Jilid IV, hlm. 12.
[28]Buyong Adil, 1972, Sejarah Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 14.
[29]Ibid., hlm. 15.
[30]Ibid., hlm. 17.
[31]Buyong Adil, 1983, Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. VII.
[32]Ibid., hlm. VIII.
[33]Buyong Adil, Sejarah Alam Melayu …, hlm. 5.