Thursday, November 12, 2015

Gerakan Nasionalisme di Tanah Melayu


Al-Imam
Wadah menyalurkan idea-idea Gerakan reformis Islam


Dalam sejarah gerakan kesedaran  di Tanah Melayu, gerakan terawal yang dapat dikesan ialah gerakan kesedaran yang dipelopori  oleh golongan berpendidikan agama. mereka ini juga dikenali sebagai golongan reformis Islam ( Gerakan Islah Islam). Golongan ini mendapat  jolokan nama tersebut kerana pemikiran pembaharuan yang dilontarkan itu berdasarkan Islam yang sebenar (yakni berdasarkan ajaran Al-Quran dan As-Sunah)

Gerakan ini muncul sekitar awal abad ke-20 yang ditandai dengan penerbitan majalah Al-Imam pada tahun 1906. Justeru itu apabila kita mengkaji  gerakan reformis Islam ini, maka semestinya kita perlu mengkaji dan meneliti majalah Al-Imam dan isi kandungannya. Al-Imam adalah medium utama bagi golongan ini untuk menyampaikan wasilah Islam kepada umat Islam dan orang-orang Melayu di rantau Kepulauan Melayu.

Ramai ahli sejarah yang mengkaji sejarah gerakan nasionalisme  Melayu akan  memberi perhatian kepada  sumbangan golongan ini dalam kejayaannya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan  kepada orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Hal ini dapat dibuktikan menerusi hasil kajian dan tulisan W.R.Roff. Terdapat sekumpulan ahli sejarah yang cuba menafikan sumbangan golongan agama dalam membangkitkan  kesedaran semangat kebangsaan bagi penduduk di Tanah Melayu amatlah dikesali. Mereka hanya menyatakan gerakan ini hanya memperjuangkan agama semata-mata yang menyeru  umat Islam supaya kembali kepada agama Islam sebenar  dan menghindari unsur-unsur khurafat dan bida'ah.

Wednesday, November 11, 2015

Demi Cinta Akan Bangsa Demi Cinta Akan Negara......

PERJUANGAN KITA
Suara keramat melantasi angkasaraya,
"Tak Melayu hilang di dunia,"
Dari puncak ke perut laut Nusantara,
Bertunas di dada setiap jejaka,
Bercambah di jiwa setiap dara,
Bahkan, bersarang di sumsum setiap anak serantau,
Yang mengakui dirinya berdarah Melayu.

Di zaman senja kegemilangan Melaka dahulu,
Melayu mulai lupa dirinya Melayu,
Terlepas nafsu dari kekangan,
Jambatan kencana menghambat awan,
Baru dipohon semangkuk darah,
Amat terasa korban tu payah.

Lena menteri diselimuti biaperi,
Menimba untung melampaui rezeki,
Hilang budi, lenyap bicara,
Hati ditambat emas sebahara,
Amanah tergadai, nyawa padahnya,
Negara hancur hilang maruahnya.

Suara keramat melantasi angkasaraya,
"Tak Melayu hilang di dunia",
Maka, dari abu runtuhan kota Melaka,
Semangat waja cintakan watan mula berbunga.

Sepanjang zaman, sepanjang sejarah,
Wira Melayu menentang penjajah,
Digelar orang perompak, penjarah,
Namun teguh memegang waadah.

Berjuang terus di Teluk Ketapang
Dibedil peluru di medan Naning
Tubuh tertusuk di rimba Pahang
Syahadat terukur di jiwa hening

Korban terbujur di Kuala Kedah,
Darah mengalir di Sungai Perak,
Di Pasir Putih nyawa terserah,
Hilanglah kuasa hilanglah hak.

Bertaat setia di Pasir Panjang,
Di Sungai Manik, Di Batu Pahat,
Tak putus asa di Gua Musang,
Berjuang terus  hingga darurat.

Mara angkatan menuntut merdeka
Berakal waras, berhati murni
Merekalah bapa, teraju negara
Merekalah ibu, puspa pertiwi

Dari semenagat wira Melaka,
Kita pupuk bangsa,
Merdeka !!!
Dari runtuhan Kota Melaka,
kita bina Malaysia,
Merdeka !!!

PERTUANAN MELAYU
MELAYU  adalah satu bangsa yang sudah bertamadun sebelum kedatangan kuasa asing. Orang Melayu sudah mempunyai cara hidup, sistemekonomi, sosial, politik dan pentadbiran tersendiri. Politik Melayu sudah lama mempunyai hubungan dengan saudagar dan pengembara, misalnya dari Arab, India, China dan Kepulauan Melayu.

MELAKA menjadi pusat perdagangan dunia pada kurun ke-15 dan awal abad ke-16. Kejayaan ini dicapai kerana kecekapan pemerintah dan pembesar Melaka menguruskan pentadbiran. Keagungan ini diakui misalnya oleh Portugis dan China. Oleh sebab itu, Portugis  menyerang dan menakluki Melaka pada tahun 1511.

Melaka juga mempunyai Undang-undang Melaka (Hukum Kanun Melaka) dan Undang-undang laut Melaka. Malah negeri-negeri Melayu lain juga mempunyai sistem pentadbiran dan undang-undang sendiri.
-Undang-undang Kedah (1650)
- Hukum Kanun Pahang ( (1872)
- Undang-undang Tubuh  Kerajaan Johor  (1895)
- Undang-undang tubuh Kerajaan Terengganu (1911)

Selain itu, orang Melayu menghasilkan puluhan ribu manuskrip Melayu dalam pelbagai hal, seperti sejarah, politik, bahasa dan sastera.



Nasionalisme Oh Nasionalisme

Demi cinta akan bangsa,
Demi cinta akan Negara
Kuimpikan kebebasan
Biar ekonomi dan budayaku tidak terus tercengkam

Sampai bila minda terus terjajah
Terhimpit dalam ekonomi tradisonal
Elit dan bangsawan terus gah disanjung,
Kemasukan imigran terus dialukan

Pengaruh agama menjadi pencetus
Mereka menentang penindasan
Pengaruh Barat dan agama Kristian
Bersatu mereka demi agama
Gerakan Islah di Indonesia
Gerakan Islah di Tanah Melayu
Kesatuan Belia Buddha di Burma
Lihat....
Agama menyatukan mereka


Karya sastera kuhasilkan
Mesej sengsara dan kecewa kunukilkan
Jose Rizal Noli Me Tanggere
Khairil Anuar Kerikil-kerikil Tajam dan Ke Makam Bonda                                                
Pak Sako pula dengan Putera Gunung Tahan

Pendidikan untuk siapa
Orang kaya
Orang papa
Priyai megah di sekolah Bandar
Anak kebanyakan terus terpinggir
Dasar Belnada pencetus semangat
Perpaduan rakyat tempatan  jadi mainan
Ilmu mubaligh dan secular bermaharajalela
Burma merana agama tergugat
Si Bangsat Inggeris mendapat mendapat tempat
Lepasan sekolah Melayu  terus merempat
Lantaran sistem pendidikan vernakular


Tuhan Maha kaya
Tuhan Maha Kuasa
Muncullah golongan intelek
Pencetus pembela watan tercinta
Barat dan AsiaBarat
Destinasi dituju
Sebagai tempat menuntut ilmu

Nah….apa barang Negara kita diinjak
Nah …apa barang nasib kita dipijak
Kesedaran
Kebangkitan..
Ayoh kita bangun membela nasib anak bangsa
Ayuh kita bebaskan Negara tercinta

Media massa , akhbar majalah
Semarak semanagat nasionlisme
Tanam perasaan anti penjajah
Tribune Indigene dan Cloche Felee
Di Vietnam
Al-Ikhwan, Saudara, Warta Melaya dan Majlis di Tanah Melayu
Penjajah bimbang kepentingan politik terancam
Ahh…
ternyata  penjajah mengamallkan sikap berbeza
Dengan kebebasan akhbar di Negara mereka

Muncul
Sistem perhubungan dan pengangkutan
Gerakan nasionlis kian  terserlah
Telefon, telegraf
mempererat hubungan
Keretapi, jalanraya
penghubung pemimpin dan rakyat

Siapa duga
Jepun meninjak-injak ketuanan China
Jepun memijak-mijak ketuanan Russia
Mahatma Ghandi menentang British durjana
Lalu tercetuslah inspirasi

Nasionalis bangkit mempertahan pertiwi.




Monday, July 13, 2015

Bukit Jugra...Kuala Langat

Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor
KEMASYHURAN Jugra sebagai pusat maritim yang wujud sejak daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka pernah disebut oleh Tun Seri Lanang di dalam buku tulisannya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Di dalam karya kesusasteraan itu, kesibukan pelabuhan Jugra yang terletak di kuala Sungai Langat digambarkan menyampai kesibukan pelabuhan Melaka yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah.
Selain gambaran menjadi pintu masuk utama perdagangan di Selangor, Tun Seri Lanang turut menyebut ketibaan Laksamana Hang Tuah di pelabuhan Jugra selepas keluar berlayar dari Melaka.
Diceritakan kononnya Hang Tuah menghabiskan masa selama dua hari dua malam di Jugra selepas kapalnya yang berlabuh di pelabuhan tiba-tiba karam.
Sama ada benar atau tidak petikan daripada tulisan itu, kisah persinggahan Hang Tuah menjadi sebahagian daripada kisah yang bermain di bibir penduduk apabila menceritakan tentang sejarah Jugra.
Salah satu daripada 'bukti' yang digunakan untuk mengaitkan kisah itu adalah kewujudan kesan tapak kaki pada batu besar berhampiran jeti Batu Hampar yang terletak tidak jauh dari kaki Bukit Jugra.
Jeti Batu Hampar di tebing Sungai Langat itu dipercayai adalah tapak pelabuhan yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang sebagai pelabuhan Jugra.
Selepas zaman Kesultanan Melayu Melaka, Jugra dikenali sebagai bandar Diraja apabila Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor ke-4) memilih kawasan di pinggiran Bukit Jugra sebagai tempat bersemayam. Baginda menjadikan Jugra sebagai pusat pentadbiran Selangor antara 1859 hingga 1898.
Pada masa kini, tinggalan seperti balai polis lama, makam Diraja, pejabat daerah lama, stor peluru, istana lama, Istana Bandar, masjid Sultan Ala'eddin Shah dan tapak perigi lama merupakan sebahagian daripada bukti sejarah yang masih boleh dilawati
 Jugra pernah menjadi laluan utama pengangkutan bijih timah yang diangkut dari Kajang, Balakong, Hulu Langat dan Semenyih. Sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Abdul Samad, Jugra menjadi pusat pengutipan cukai bijih timah sebelum dibawa keluar melalui Sungai Langat. Berdasarkan bukti-bukti yang ada, kita percaya Jugra pernah memainkan peranan yang penting sebelum pusat pentadbiran kerajaan beralih ke Klang pada 1882,
Selain itu katanya, Jugra semasa di bawah pemerintahan Sultan Abdul Samad dan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor kelima) pernah menjadi kawasan pertanian utama di Selangor.
Hasil daripada kemakmuran pemerintahan kedua-dua sultan, Jugra diberi nama timangan sebagai Bandar Temasya.
Sebelum itu nama lama Jugra adalah Tanjung Kera kerana terdapat banyak kera di kawasan bukitnya.



10 PERKARA YANG MEMATIKAN QALBU (HATI)
1. Kita mengenal Allah tapi kita tidak  menunaikan hakNya.
2. Kita membaca Al-Quran tetapi kita tidk mengamalkannya.
3. Kita mengaku bahawa kira mencintai Rasulullah s.a.w  tetapi kita sering meninggalkan sunah dan 
    ajarannya.
4. Kita mengakui kita memusuhi syaitan tetapi kita mengikut telunjuknya.
5. Kita menyatakan bahawa kita mencintai syurga tetapi  kita tidak beramal untuk mendapatkannya.
6.Kita menyatakan bahawa kita takut akan neraka, tetapi tindak-tanduk kita seolah-olah menjurus 
    kepada penghuni neraka.
7. Kita menyatakan bahawa mati itu benar tetapi kita gagal mempersiapkan diri untuk 
     menghadapinya.
8. Kaita cenderung membuka aib-aib / kelemahan-kelamahan orang lain, sebenarnya kita membuka 
    aib-aib diri kita sendiri.
9. Kita menikmati segala nikmat Yang Maha Esa tetapi kita tidak pernah atau jarang mensyukiri 
     nikmat tersebut.
10.  Kita sering menghantar jenazah dan mengebumikan jenazah tetapi kita tidak mengambil iktibar 
      daripada kematian.

SUBHANALLAH , BERAPA LAMA KITA DIULIT OLEH KEKALAIAN DUNIA........


KENAPA UDARA DI WAKTU SUBUH SEGAR??
"Sebab tidak bercampur dengan nafas orang yang MUNAFIK yang belum bangun di waktu subuh"



AKU DI SINI ......KAU DI SANA.......
KITA MENGHADAP  KIBLAT YANG  SAMA....
JAUH DI MATA
NAMUN DEKAT DI DOA......

Tanam Minat Terhadap Mata Pelajaran Sejarah

Langkah yang diambil oleh SMK Bandar baru Bangi dan PPD Hulu Langat menanam minat terhadap mata pelajaran Sejarah.

Wednesday, July 8, 2015

Penghijrahan : Dari Persepektif Sejarah Sosial

Penghijrahan bererti berpindah, pertukaran tempat, pergerakan individu atau kumpulan masyarakat dari sebuah kawasan ke kawasan lain. Makna Sejarah ia berasal dari kata Arab "Hijrah" sejajar dengan perpindahan Rasulullah s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Peristiwa hijrah orang Islam Mekah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaam 12 September tahun 622 Masihi. Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad s.a.w berhijrah bersama-sama sahabat baginda, Abu Bakar al-Siddiq, selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Hijrah ialah perkataan Arab yang bermakna berpindah. pada umumnya, perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam kontkes tamadun Islam, hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari Kota Mekah ke Madinah  dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
Dalam Islam penghijrahan bukan sahaja melibatkan perpindahan fizikal tetapi juga mental. Sebagai contoh daripada seorang yang jahil atau mungkar kepada yang lebih baik atau lebih alim mengikut syariat Islam itu sendiri.

Sejajar dengan itu, apabila Islam mula bertapak di Nusantara, konsep penghijrahan ini menjadi amat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu terutama apabila dikaitkan dengan adat atau sikap orang Melayu yang suka berpindah-randah. Terdapat variasi local dan ia berlaku hampir di semua negeri di Nusantara. Sebagai contoh di Semenanjung Tanah Melayu terdapat penduduk Jawa yang berhijrah dari Pulau Jawa, selain itu terdapat penduduk Sumatera seperti orang Minangkabu, Mendailing, Orang Acheh, Orang Rawa, Kerinci, Palembang, Jambi, Kampar, Siak, Inderagiri, Bangkahulu, Pasai dan Orang Melayu Langkat. Orang Banjar dari Kalimantan. Orang Bugis dari Sulawesi dan orang Boyan dari Pulau Bowean.

Perkataan "Hijrah" lebih berleluasa penggunaannya terutama sejak kedatangan Islam tetapi mayarakat Melayu tetap menggunakan perkataan "Merantau", "Mengembara", "Berkelana" dan "Berdagang". Jika diteliti pengunaan istilah-istilah ini ada perbezaannya. Sebagai contoh istilah "Mengembara"-biasanya digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu untuk keluar menuntut ilmu. Ia juga disesuaikan dengan tuntutan pada masa itu yang memerlukan setiap anak muda mengembara untuk mencari ilmu pertahanan diri.
Bagi istilah "Siri" pada orang Bugis yang mana "Siri" adalah digunakan untuk mengangkat kedudukan seseorang ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam ekonomi atau sosial. 

Perkara yang sama juga ada pada masyarakat Jawa yang dikenali "Wirang". Walaupun orang Jawa sering dilabelkan sebagai masyarakat yang suka berpindah sebagai contoh terdapat perbidalan masyarakat Jawa yang menyebut "Mangan Ora Mangan Asal Kumpul" tetapi sebenarnya istilah ini bukanlah bermakna tidak berhijrah tetapi berkumpul adalah membawa maksud bersatu.

Dalam sejarah sosial penghijarahan masyarakat Melayu Nusantara agak kurang dibincangkan. Ia sering dikaitkan dengan pembangunan ekonomi kolonial.  Peranan masyarakat imigran Cina dan India banyak dikaitkan dalam membantu menjayakan projek-projek pembangunan ekonomi kolonial. Sebenarnya dalam Sejarah Malaysia masih terdapat ruang khusus dalam konteks pembinaan masyarakat terutama dalam konteks perkembangan masyarakat majmuk. Perpaduan masyarakat adalah satu-satunya aspek kehidupan yang harus diberi keutamaan. Ini kerana sumbangan masyarakat Melayu ini turut menyumbang kepada prmbangunan ekonomi Tanah Melayu seawal sebelum kedatangan imigran Cina dan India secara beramai-ramai.

Natijah daripada kurangnya karya-karya sejarah yang memberi keutamaan kepada sejarah tempatan telah menimbulkan pandangan yang kurang menyakinkan terhadap budaya tempatan. Keadaan ini adalah sebenarnya salah satu daripada dasar "membaratkan" orang tempatan sama ada dari segi material atau minda agar mereka lebih memahami budaya atau nilai Barat daripada budaya masyarakat mereka sendiri. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung, masyarakat Malaysia akan menghadapi masalah untuk mengenal sejarah tanahairnya yang mana mereka lebih didedahkan kepada peranan pentadbir British dan perubahan fizikal yang dijalankan oleh projek-projek pembangunan kolonial. Keadaan ini sudah tentu mengakibatkan generasi baru Malaysia akan lebih memahami proses pemodenan yang datang dari barat dan akan memperkecilkan budaya masyarakatnya sendiri yang pernah pada suatu ketika merupakan budaya yang bertamadun tinggi.



Sunday, July 5, 2015

SEJARAH MUZIUM



PENGENALAN


Sejarah seringkali dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa pada masa lampau. Corak kerajaan, bentuk ekonomi dan aktiviti kebudayaan sesebuah  masyarakat pada masa silam , tentunya mempunyai keunikan yang tersendiri. Muzium merupakan sebuah institusi sosial yang sering dikaitkan dengan elemen-elemen sejarah, tamadun silam, kebudayaan dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana segala penemuan sejarah akan disimpan dan dipamerkan kepada umum sebagai sebahagian daripada khaznah warisan bangsa yang tidak ternilai. Tanggapan sedemikian dirasakan belum cukup untuk menjelaskan akan peranan  sebenar muzium kepada sebuah bangsa dan negara. Oleh itu,  pemahaman yang jelas terhadap fungsi dan peranan institusi muzium ini amat penting dihayati dan seharusnya mengaku peranan yang dimainkan oleh muzium dalam meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya.

DEFINISI MUZIUM


Perkataan muzium yang digunapakai hari ini dipetik daripada perkataan Inggeris “museum”. Perkataan ini berasal daripada perkatan Greek “mouseion” yang bermaksud susi ‘Muse’ iaitu tuhan atau kumpulan sembilan dewi lambang ilmu dan kesenian.[1] “Muse”  dalam bahasa Greek juga bermaksud “hibur” atau dalam bahasa Inggerisnya “amusement”. Pada  zaman klasik muzium dikenali sebagai :
A place sacred to the Muses specifilically, the great institution for literature and scientific studies built and equipped by Ptolemy I at Alenandria, which was virtually a university of Hellenistic world.[2]
Manakala dalam kamus yang lain pula menyebut muzium sebagai:
A building, room, etc., for preserving and exhibiting rare, interesting, or typical specimen work of arts, science, invention, etc., or of natural history.[3]
Pengertian yang sedemikian memberi persoalan sama ada sesebuah institusi yang memberi banyak hubungn kebudayaan dan sejarah wajar didirikan sebuah muzium dengan menggunakan wang orang ramai.
Di Eropah, ekoran tercetusnya Revolusi Perancis pada abad ke-19 telah meruntuhkan order social lama yang telah wujud sebelumnya . Masyarakat Eropah mula sedar dan bangkit setelah diselubungi zaman kegelapan dan membentuk corak kehidupan yang lebih baik. . Kesannya telah berkembang ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kaedah pelajaran tradisional tidak lagi dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat. Oleh yang demikian, keadaan ini telah menimbulkan suasana yang baik bagi perkembangan muzium.
Penubuhan muzium ketika itu telah membantu dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat. Penggunaan alat pandang dengar dalam memberi pendidikan yang diperkenalkan telah memberi tangapan bahawa muzium  adalah sebaik-baik alat dalam memberi pendidikan. Oleh itu, muzium telah berkembang sebagai institusi pendidikan dan pusat dokumentasi.[4]
Berikutan dengan perkembangan ini, menjadikan definisi muzium lebih luas skopnya. Perlembagan international Council of Museums (ICOM) misalnya telah memberikan pengertian muzium sebagai:
Any permanent establishment set up for the purpose of preserving , studying, enhancing by various means and in particular of exhibiting to the public for its delectation and instruction……artistic, historical, scientific and technological collection.[5]
Bertolak kepada pengertian dan andaian inilah memberikan perkembangan kepada penubuhan muzium di seluruh dunia. Jelaslah kini, fungsi muzium bukan sekadar tempat menyimpan serta menjaga benda-benda purba semata-mata bahkan berperanan dalam memberi pengetahuan  atau pendidikan kepada masyarakat. Tegasnya di Malaysia sendiri pengertian  yang telah dikemukakan oleh ICOM ini telah digunakan  oleh pihak muzium sebagi panduan menjalankan aktiviti-aktivitinya.



SEJARAH PENUBUHAN MUZIUM DI MALAYSIA

Penubuhan muzium di malaysi bermula sejak abad ke-19 lagi ketika negara masih dijajah oleh Britis[6]h. Idea kemunculan muzium di Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu dikatakan telah dicetuskan oleh Sir Hugh Low yang menjadi Residen di Perak pada 1877[7]. Fakta ini berdasarkan  pada tahun 1883, beliau telah menugaskan Leonard Wray Jr. (J.L. Wray) mengumpulkan specimen untuk diletakkan di muzium yang dicadangkan didirikan pada tahun 1883 [8]. Idea Sir Hugh Low ini bertepatan dengan pengalaman beliau sebagai ahli botani dan berminat dalam bidang arkeologi dan antropologi. Pengetahuan yang luas tentang masyarakat Melayu, di samping aktiviti-aktiviti carigali dan penyelidikan tentang sejarah dan  kebudayaan yang pernah dijalankan semasa bekerja di bawah pentadbiran Raja Sir Charlas Brooke di Sarawak membantu mempercepatkan lagi pembinaan muzium[9].
Oleh itu, setelah menjadi Residen British di Perak pada tahun 1877, Hugh Low melihat perlunya suatu tempat yang khusus bagi menyimpan bahan-bahan sejarah dan budaya yang berjaya dikumpulkan. J.L.Wray yang diberi tanggungjawab mengumpul specimen bagi ditempatkan di  muzium telah berjaya mengumpul specimen-specimen ethnologi dan antropologi. Pengumpulan specimen-specimen  berjaya diperolehi ketika beliau menjalankan kegiatan arkeologi di beberapa tempat tapak pra-sejarah di negeri  Perak pada tahun 1880-an. Contohnya, kegiatan arkeologi yang dijalankan di Gua Batu Kapur berhampiran  Bandar Ipoh yang telah menemukan serpihaan tembikar pra-sejarah[10].
Ekoran daripada banyaknya specimen yang telah berjaya dikumpulkan, pembinaan Muzium Perak dimulakan pada tahun 1883 dan siap sepenuhnya pada tahun 1886 yang juga dikenali sebagai Muzium Taiping. Muzium ini telah berjaya mengumpulkan dan mempamerkan bahan zoology, arkeologi dan ethnologi. Antaranya, termasuklah alat-atalt kegunaan pertanian, perhiasan orang Melayu, pakaian tradisional dan alat-alat muzik.  Di samping itu, specimen mamalia dan reptilian serta artifak  zaman pra-sejarah turut dipamerkan. Muzium Perak ketika itu di bawah pengelolaam Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) dan J.L. Wray menjadi Kurator pertama . Ini bermakna segala pentadbiran serta peruntukan kewangan muzium adalah menjadi tanggungjawab dan ditentukan oleh Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu.
            Memandangkan Tanah Melayu kaya dengan warisan sejarah dan kebudayaan, memerlukan banyak tempat untuk menyimpan bahan-bahan tersebut. Oleh itu, satu rancangan menubuhkan muzium baru yang lebih baik perluu diwujudkan dan Kuala Lumpur akan menjadi tempat pengumpulan specimen-specimen  yang diperolehi. Pembinaan muzium di sini juga adalah selari dengan desakan dari masyarakat tempatan khususnya di Selangor.
Justeru itu pembinaan muzium kedua telah dimulakan pada 1888 dan siap sepenuhnya pada 1914.Muzium ini juga di kenali sebagai Muzium Selangor. Muzium ini, seperti juga Muzium Perak diletakkan di bawah pengawasan  Negeri-negeri Melayu Bersekutu sama ada  dalam urusan pentabdiran mahu pun dari segi peruntukan kewanagan. J.L. Wray yang sebelum ini mengetuai Muzium Perak dilantik menjadi Pengarah kepada Muzium Perak dan Muzium Selangor.
Serentak dengan itu, seelah Jabatan Muzium ditubuhkan pada 1904 di Selangor, Muzium Perak dan Muzium Selangor disatukan menjadi Muzium Negeri Melayu Bersekutu dan diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Muzium yang diketuai oleh J.L. Wray. Penyatuan kedua-dua muzium dapat diselaraskan terutamanya dalam bidng pengumulan spesime. Muzium Perak lebih menumpukan aktiviti ilmu kejadian seperti zoology dan botani, manakala Muzium Selangor pula berttanggunjawab dalam mengumpul dan mempamerkan keoleksi-koleksi bahan ethnologi.
Namun , pada 1 Januari 1932, Muzium Negeri  Melayu Bersekutu dibubarkan dan kedua-dua muzium tersebut dipisahkan dan wujud sebagai dua muzium yang beasingan. Keadaan ini berlaku selaras dengan dasr desentralisasi (dasar pengagihan kuasa) yang telah dijalankan oleh British di Tanah Melayu ketika itu.
Akan tetapi , pemis       han kedua-dua muzium ini tidak kekal lama kerana timbul kesedaran  bahawa ia akan merugikan pihak British. Setelah pembentukan semula Jabatan Muzium paa 1938, kedua-dua buah muzium Perak dan Selangor di satukan di bawah pentadbiran  Jabatan Muzium yang diketuai oleh H.M. Pendlebury. Keselarasan ini memberikan perkembangan yang baik kepada institusi ini sehinggalah kedatangan Jepun ke Tanah Melayu (Perang Dua Kedua). Semasa pendudukan Jepun, perjalanan atau perkembangan muzium  terbantantut kernan pihak Jepaun kurang memberi  perahtaian dalam membantu meningkatkan aktiviti pengumpulan dan penjagaa  sepecimen di muzium. Perkembangan muzium semakin tersekat apabila muzium Selangor telah dibomkan oleh Amerika pada tahun 1945 dan mengalami kemusnahan.



[1] Secara jelasnya “Muse” bermakna tempat suci yang dapat  menghiburkan para pengunjungnya. Di tempat yang suci ini dpamerkan contoh-contoh hasil kerja seni rakyat yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa lampau yang dianggap gemilang dan membanggakan. Lihat Alma S. Wittlin, The Encyclopedia Americana, Americana Corporation, New York, 1972, hal. 619
[2] Mohd. Zulkifli Haji Aziz, Penubuhan Muzium-muzium Di Semenanjung, Muzium Negara, Kuala Lumpur, 1974, hal. 5.
[3] Theodore Anton Sande, “Museums, Museums, Museums”, dalam Museum , Management and Curatorship,  Number 1, Butterworth-Heinemann Ltd., London, March 1992, hal. 186.
[4] Mohd. Zulkifli Haji Aziz, Penubuhan Muzium-muzium Di Semananjung , hal. 6
[5] Pierre Schomer, “Administration of Museums” , The Organization of Practical Advice, UNESCO, Paris, 1960, hal. 28
[6] Di Malaysia, muzium pada peringkat awalnya dikenali sebagaia “Sekolah Gambar” kerana selain artifak, gambar-gambar bersejarah turut dipamerkan dengan banyaknya di muzium.
[7] Khoo Kay Kim, Taiping: Ibu Kota Perak , Persatuan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur, 1983, hal. 18
[8] B.A.V. Peacock. A Report of Museums In Malaya 1954, Federation of Malaya Kuala Lumpur, 1955, hal. 17
[9] Robert Heussler, British Rule In Malaya, The Malaya Civil Service And Its Predecessors 1887-1942, Ohio Press Oxford, London, 1981, hal. 58
[10] Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, “Pengkaji Dan Penyelidikan Arkeologi Di Malaysia Dan Implikasinya Terhadap Pembangunan Negara”, Kongres Sejarah Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 10-12 April 1978, hal. 3