Penghijrahan bererti berpindah, pertukaran tempat, pergerakan individu atau kumpulan masyarakat dari sebuah kawasan ke kawasan lain. Makna Sejarah ia berasal dari kata Arab "Hijrah" sejajar dengan perpindahan Rasulullah s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Peristiwa hijrah orang Islam Mekah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaam 12 September tahun 622 Masihi. Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad s.a.w berhijrah bersama-sama sahabat baginda, Abu Bakar al-Siddiq, selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Hijrah ialah perkataan Arab yang bermakna berpindah. pada umumnya, perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam kontkes tamadun Islam, hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari Kota Mekah ke Madinah dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
Dalam Islam penghijrahan bukan sahaja melibatkan perpindahan fizikal tetapi juga mental. Sebagai contoh daripada seorang yang jahil atau mungkar kepada yang lebih baik atau lebih alim mengikut syariat Islam itu sendiri.
Sejajar dengan itu, apabila Islam mula bertapak di Nusantara, konsep penghijrahan ini menjadi amat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu terutama apabila dikaitkan dengan adat atau sikap orang Melayu yang suka berpindah-randah. Terdapat variasi local dan ia berlaku hampir di semua negeri di Nusantara. Sebagai contoh di Semenanjung Tanah Melayu terdapat penduduk Jawa yang berhijrah dari Pulau Jawa, selain itu terdapat penduduk Sumatera seperti orang Minangkabu, Mendailing, Orang Acheh, Orang Rawa, Kerinci, Palembang, Jambi, Kampar, Siak, Inderagiri, Bangkahulu, Pasai dan Orang Melayu Langkat. Orang Banjar dari Kalimantan. Orang Bugis dari Sulawesi dan orang Boyan dari Pulau Bowean.
Perkataan "Hijrah" lebih berleluasa penggunaannya terutama sejak kedatangan Islam tetapi mayarakat Melayu tetap menggunakan perkataan "Merantau", "Mengembara", "Berkelana" dan "Berdagang". Jika diteliti pengunaan istilah-istilah ini ada perbezaannya. Sebagai contoh istilah "Mengembara"-biasanya digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu untuk keluar menuntut ilmu. Ia juga disesuaikan dengan tuntutan pada masa itu yang memerlukan setiap anak muda mengembara untuk mencari ilmu pertahanan diri.
Bagi istilah "Siri" pada orang Bugis yang mana "Siri" adalah digunakan untuk mengangkat kedudukan seseorang ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam ekonomi atau sosial.
Perkara yang sama juga ada pada masyarakat Jawa yang dikenali "Wirang". Walaupun orang Jawa sering dilabelkan sebagai masyarakat yang suka berpindah sebagai contoh terdapat perbidalan masyarakat Jawa yang menyebut "Mangan Ora Mangan Asal Kumpul" tetapi sebenarnya istilah ini bukanlah bermakna tidak berhijrah tetapi berkumpul adalah membawa maksud bersatu.
Dalam sejarah sosial penghijarahan masyarakat Melayu Nusantara agak kurang dibincangkan. Ia sering dikaitkan dengan pembangunan ekonomi kolonial. Peranan masyarakat imigran Cina dan India banyak dikaitkan dalam membantu menjayakan projek-projek pembangunan ekonomi kolonial. Sebenarnya dalam Sejarah Malaysia masih terdapat ruang khusus dalam konteks pembinaan masyarakat terutama dalam konteks perkembangan masyarakat majmuk. Perpaduan masyarakat adalah satu-satunya aspek kehidupan yang harus diberi keutamaan. Ini kerana sumbangan masyarakat Melayu ini turut menyumbang kepada prmbangunan ekonomi Tanah Melayu seawal sebelum kedatangan imigran Cina dan India secara beramai-ramai.
Natijah daripada kurangnya karya-karya sejarah yang memberi keutamaan kepada sejarah tempatan telah menimbulkan pandangan yang kurang menyakinkan terhadap budaya tempatan. Keadaan ini adalah sebenarnya salah satu daripada dasar "membaratkan" orang tempatan sama ada dari segi material atau minda agar mereka lebih memahami budaya atau nilai Barat daripada budaya masyarakat mereka sendiri. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung, masyarakat Malaysia akan menghadapi masalah untuk mengenal sejarah tanahairnya yang mana mereka lebih didedahkan kepada peranan pentadbir British dan perubahan fizikal yang dijalankan oleh projek-projek pembangunan kolonial. Keadaan ini sudah tentu mengakibatkan generasi baru Malaysia akan lebih memahami proses pemodenan yang datang dari barat dan akan memperkecilkan budaya masyarakatnya sendiri yang pernah pada suatu ketika merupakan budaya yang bertamadun tinggi.
No comments:
Post a Comment