Friday, July 3, 2015

Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah

Istilah ‘Sejarah’ lebih terkenal sebagai satu mata pelajaran dalam kurikulum sekolah atau satu disiplin akademik di universiti-universiti. Sejarah merupakan satu mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Pendidikan Sejarah yang diajar kepada para pelajar di sekolah dapat mencorakkan satu perubahan yang dinamis bagi melahirkan warganegara Malaysia yang celik Sejarah dengan mengenal asal-usul bangsanya sendiri serta mempunyai jati diri yang tulen. Matlamat mata pelajaran sejarah lebih berkesan lagi apabila mata pelajaran Sejarah dapat membantu dan memandu pelajar membina serta menempa kejayaan yang lebih gemilang khususnya dalam mencapai wawasan negara. Dalam dunia tanpa sempadan ini, pendidikan sejarah merupakan salah satu wadah yang dapat menyedarkan, membina dan menjana semangat patriotisme dalam diri pelajar, khususnya di dalam negara Malaysia yang mempunyai penduduk daripada pelbagai bangsa , ras dan pegangan agama. Pendidikan sejarah diharapkan dapat melahirkan generasi negara yang gemilang dalam pencapaian akademik dan sahsiah malah dapat mendokong semangat patriotisme yang jitu terhadap negara.

Sejarah pembinaan negara dan bangsa Malaysia amat panjang dan setiap era yang telah ditempohi mencatatkan sejarah yang tersendiri yang perlu dijadikan direnungi dan dijadikan iktibar agar negara yang kita cintai ini terus mengecap nikmat keamanan dan kesejahteraan penduduknya. Generasi pasca merdeka wajib mengenali sejarah perjuangan bangsa dan negara dan dengan cara ini akan dapat menyedarkan mereka tentang peranan yang harus dilakukan pada bangsa, agama dan negara. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-40:
“Walau apapun terjadi pada kita, kita tidak harus melupakan sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita. Sebab itulah kita mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan Kebangsaan setiap tahun. Selain dari menanam semangat patriotik dalam diri di kalangan rakyat, Hari Kebangsaan ini juga akan mengingatkan kita kepada sejarah perjuangan negara kita. Dengan mengetaui sejarah negara sendiri, kita boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan”

Sejarah sebagai hakikat yang sangat berkait-rapat dengan masyarakat. Kenyataan ini bukan hanya bererti dalam pengajian Sejarah, kebenaran amat dipentingkan, sejarah adalah hakikat kerana dalam pengertiannya yang lebih luas dan perlu ditambah, lebih bermakna juga jika ia merujuk kepada masa. Pendeknya segala peristiwa penting yang telah berlalu adalah sejarah.

Kita sering mendengar pemimpin negara menyuarakan hasrat agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha membangunkan negara. Dalam konteks ini, sejarah dapat memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara. Pembentukan bangsa Malaysia haruslah berteraskan pengethauan dan kefahaman sejarah tanahair ini sendiri. Kefahaman yang tinggi kepada sejarah negara akan dapat melahirkan rakyat yang sentiasa mendukung hasrat dan cita-cita murni pemimpin negara. Mengetahui asal-usul bangsa Malaysia, mengambil iktibar daripada peristiwa yang pernah berlaku di zaman lampau, meningkatkan perpaduan antara kaum dan seterusnya dapat melahirkan bangsa Malaysia yang bersatupadu.

Sejarah dapat membangkitkan perasaan bangga terhadap bangsa dan negara, semangat patriotisme dan semangat kebangsaan sering dipupuk melalui sejarah. Malahan sejarah adalah satu alat yang penting untuk mencipta keperibadian kebangsaan. Menyedari peri pentingnya disiplin ilmu sejarah ini telah menyebabkan Menteri Pendidikan Malaysia menjadikan sejarah sebagai mata pelajaran wajib bagi semua pelajar sehingga tingkatan 5.

No comments:

Post a Comment